Sunday, March 8, 2009

Siswa kecewa Majlis Peguam tak iktiraf lulusan UUM

Dipetik dari Berita Harian

SEBAGAI graduan undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), saya dapati sejak tahun lalu hingga kini tiada kemajuan dan keputusan muktamad diberi Majlis Peguam dan Lembaga Kelayakan mengenai pengiktirafan Ijazah Undang-Undang UUM. Orang ramai tentu terkejut apabila mendapati program ditawarkan universiti tempatan tiada pengiktirafan. Jika tidak diiktiraf, mengapa UUM masih menawarkan kursus ini? Justeru, bagaimanakah masyarakat boleh menaruh kepercayaan terhadap sistem pendidikan universiti tempatan?

Sebenarnya, UUM dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa dan jam kredit pelajar 173 jam (tidak termasuk tutor) atau skop pelajaran setaraf universiti lain. Tahun lalu kumpulan guaman dan Majlis Peguam menguji kelayakan pelajar dan pensyarah Undang-Undang UUM. Atas permintaan mereka, kami menyertai taklimat motivasi selama tiga hari. Kami sudah melanjutkan pelajaran di UUM empat tahun. Banyak tekanan dan kesusahan dihadapi daripada pelbagai pihak kerana program undang-undang UUM baru diisytihar pada 2003. Orang luar lebih gemar mengambil graduan universiti lain yang lebih terkenal.

Oleh itu, graduan undang-undang UUM perlu berusaha lebih tekun dan gigih. Meskipun bergelar graduan, kami gagal mendapatkan pekerjaan dalam bidang guaman kerana ijazah UUM masih tidak diiktirafkan Majlis Peguam dan Lembaga Kelayakan untuk membolehkan kami menjalani latihan pupilage sembilan bulan. Pihak terbabit melengahkan keputusan pengecualian pelajar undang-undang UUM daripada peperiksaan Sijil Amalan Undang-Undang.


SISWA KECEWA,
Sintok, Kedah.

No comments: